Saya Sayang Mama...

Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya


Dia seorang yang mulia. Aku seorang yang hina. Dia seorang yang sabar. Aku seorang yang pemarah. Ya, memang dialah yang paling aku sayangi. Namun, selalunya dia yang paling sering tidak dihormati. Bukan hati ini tidak ingin, namun ego dan kedudukan lebih dingin. Bukan naluri manusia menolak, namun nafsu ammarah yang naik mendadak.
Sering bibir ini ingin mengucapkan SAYANG padanya, tapi lafaznya terlalu jauh dari bibirku.

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu


Melihat wajahnya sahaja, sudah cukup mendamaikan. Ya, memang melihat wajahnya dijanjikan pahala. Di kala masalah melanda, dia tetap setia di sisi. Kehilangannya di sisi, sudah cukup menggusarkan hati. Namun, itulah yang tersembunyi. Memang pada zahirnya tidak ku akui betapa pentingnya dia, namun batinku menjerit- Dia amat penting buat aku. Dia, telah Allah anugerahkan kepadaku, hanya dia dalam dunia ini. Begitulah ketentuan Allah, dia dan hanya dia, tiada yang lain.

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia


Aku tidak tahu mengapa, setiap kali ingin luahkan sayangku, lidahku terikat. Mengapa? Aku bukan lemah dalam berkata-kata! Cukuplah sijil aku menunjukkan bahawa aku memang pandai berkata-kata. Tapi, kenapa bila tiba masanya untuk aku menuturkan sayang, lidahku terikat, bibirku memberat? Seringkali lidah ini mengeluarkan perkataan biadap. Ya, biadap. Amat ringan perkataannya, namun tajam menusuk hati dia yang ku sayangi. Maafkan aku. Aku tak bermaksud begitu, aku sayang sama dia namun susah untuk aku menzahirkannya. Aku kasih sama dia namun sukar rasanya untuk aku menterjemahkannya. Hanya....Kebisuan diriku yang dapat mengungapkan rahsia sayangku pada dia.

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar
tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia


Aku sering begitu. Sering mengharapkan satu dimensi milik Tuhan yamg masih misteri, iaitu masa untuk melarikan lafazku daripada dia. Dalam hatiku, sering berdoa, Ya Allah, berilah aku kesempatan untuk melafazkan penghargaan dan sayangku pada dia. Berilah aku kemudahan untuk aku menterjemahkan kepatuhan hatiku kepada kelakuanku pada dia. Berilah aku masa, untuk aku membasahi hatiku dengan kasih sayangnya. Selama ini, dengan kehadirannya seringkali aku tidak menghargai dia. Kini, ketiadaannya membuatkan hatiku rindu, amat merindui kehadiran dia.

Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata


Ya? Apakah yang akan hilang? Mengapa tidak kuluahkan semuanya? Sejujurnya penghargaan aku. Betul, dia sememangnya layak dihargai. Dialah asbab kejayaanku pada hari ini, dengan izin Allah. Iya, aku memang terfikir. Allah berkuasa menjadikan semua perkara, sama ada dengan asbab, tanpa asbab, mahupun berlawanan dengan asbab. Semuanya di atas KudratNya. Ya, memang aku sukar untuk luahkannya, namun hati ini bertekad, akan aku luahkannya. Biarpun tergugat naluri palsuku, sebagai seorang lelaki. Biarpun perasaan dan nafsu melawan, ku biarkan iman dan mata hati menunjuk jalan. Mungkin hari ini hari terakhir buat aku, atau buat dia.

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan


Apa yang aku harapkan, ialah agar aku diberi kesempatan untuk mengucapkan sayang padanya. Aku tak sanggup kehilangannya, jujur aku sebagai manusia, aku masih memerlukannya. Kata-katanya, malah masakannya! Teringat sewaktu aku di bangku sekolah, seringkali ku menulis makanan kegemaranku; nasi goreng kampung. Namun, sekarang baru aku sedar, masakan dia lah yang paling ku gemari. Hati selalu pedih mengenangkan hakikat ini, mengapa tidakku manfaatkan segala masa ketika bersamanya dulu? Jujur, aku sebagai manusia tidak sanggup kehilangannya. Mungkin bibir ringan berkata, redha pada ketentuan. Namun, hati ini yang akan remuk, sekiranya dia pergi dahulu. Masih banyak yang ingin kukongsikan bersamanya, masih banyak yang ingin kuceritakan, masih banyak yang ingin kuguraukan bersamanya, masih banyak kasih yang aku dahagakan daripadanya. Maafkan aku. Aku sentiasa mengharapkan kau memahami diriku, namun hakikatnya akulah yang tidak memahami diriku sendiri. Akulah yang selalu menterjemahkan perasaan tidak puas hati kepada kelakuan, namun tidak pernah dapat ku meneterjemah sayangku padamu. Mother, mama, ibu, ummi, itulah nama yang mulia namun jarang manusia hargai. Pada hari ini, baru ku pelajari hakikatnya. Pada peringkat manusia, dia telah Tuhan buatkan tiada dua. Hanya satu untukku. Aku amat sayang sama dia. Amat sayang.

1 comment:

Omar Ahsan said...

sumpah best doh.
I LOVE YOU MAMA!