Ummatku, Ummatku, Ummatku [Re-post]

Bismillah
Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, matahari sudah mula terbit, namun burung-burung gurun masih enggan mengepakkan sayapnya. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas, memberikan khutbah. “Wahai umatku, kita semua ada di dalam kekuasaan Allah, dan cinta KasihNya! Maka taatilah dan bertaqwa kepadaNya. Kuwariskan pada kalian; Al Quran dan Sunnahku. Barangsiapa yang mencintai Sunnahku, bererti mencintaiku dan kelak, orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersamaku”. Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang, menatap sahabatnya satu persatu.

Abu Bakar, menatap mata itu dengan berkaca-kaca. Umar, naik turun dadanya menahan nafas dan tangisnya. Uthman, menghela nafas panjang, meleraikan hiba. Ali, menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua!!!” keluh hati semua sahabat di kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Dia bakal menemui KekasihNya di akhirat, meninggalkan dunia ini. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkali Ali dan Fadhal dengan cergas menyambut Rasulullah yang berkeadaan lemah longlai ketika turun dari mimbar. Di saat itu, jikalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik yang berlalu. Detik yang amat menyayat hati.

Matahari kian meninggi, namun pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah terbaring lemah, dengan keningnya yang berkeringat. ”Assalamu’alaikum”, kedengaran satu suara dari luar rumah baginda. Fatimah membuka pintu, kelihatan seorang lelaki di hadapannya. Fatimah berkata “Maaf, ayahku sedang sakit tenat”. Dia menutup pintu. Tetamu luar biasa itu mengundang persoalan di lubuk hati Fatimah. “Siapakah dia wahai ayahku?” tutut Fatimah dengan penuh kelembutan. Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah, bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. “Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia, dialah Izrail Malaikatul Maut”.

Fatimah menahan ledakan tangisnya, Izrail sudah mula mengatur langkahnya. Namun Jibril masih tidak kelihatan di sisi Izrail. Di manakah Jibril?! “Maafkanku ya Rasulullah, aku di sini”, Jibril muncul tiba-tiba. Persiapan penduduk langit menyambut kehadiran ruh Kekasih Allah, telah pun selesai. Kini detik yang paling menyayat hati, bakal mengukir sejarah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat sedang menanti ruhmu, semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu”, kata Jibril. “Bagaimanakah keadaan umatku, wahai Jibril?” tanya Rasulullah. “Jangan khuatir ya Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku : Kuharamkan syurga bagi sesiapa sahaja kecuali setelah umat Muhammad berada di dalamnya.”

Detiknya semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan, ruh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah menegang, urat-urat lehernya menegang.”Jibril, betapa sakitnya Sakaratul Maut ini!” perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali menunduk, Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu wahai Jibril?”. “Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal?” kata Jibril. Sebentar kemudian, terdengar Rasulullah memekik, kerna sakit yang tidak tertahan lagi. “Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan sahaja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada Umatku!”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar, ingin membisikkan sesuatu. Tatkala Ali mendekatkan telinga, terlafazlah. “Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang yang lemah diantara kamu. Ummatku, Ummatku, Ummatku”. Maka berakhirlah hidup manusia teragung itu. Di luar pintu, tangis mulai bersahutan, sahabat saling berpelukan, airmata saling bercucuran. Alam dunia telah kehilangan manusia teragung, Muhammad bin Abdullah, Kekasih Allah.

“Ya Rasulullah, Ya Habiballah, ingin sekali aku mengucup wajahmu. Maafkan ku wahai Rasulullah, sekiranya diri ini tidak mengamalkan sunnahmu dan melupaimu.”

2 comments:

Anonymous said...

satisfied. tnx

Anonymous said...

“Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan sahaja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada Umatku!”

sungguh betapa mulia hati seorang insan yang syurga jaminannya...

salam ziarah! keep on posting post yg elegan dan bermanfaat..